Misi bantuan banjir dapat kelulusan MKN dengan SOP yang ketat – Azmin

0
2

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila merentas negeri menyertai satu misi bantuan banjir di Johor.

Gambar Mohamed Azmin dan beberapa individu duduk di sebuah meja panjang yang turut disediakan makanan, tular di laman Facebook hari ini.

Dalam hantaran di akaun FB Saya Sayang Tun Dr Mahathir Mohamad, mempersoalkan adakah Mohamed Azmin dibenarkan merentas negeri oleh kerana berstatus menteri.

“Johor dalam PKP atau PKP Pemulihan? Ada makan-makan ke di Pengerang?. Bukankah SOP PKP tak boleh makan di kedai dan hanya bungkus dan delivery?

“Adakah sebab dia Menteri? Jauh betul merentas dari Gombak ke Pengerang,” tulis hantaran tersebut hari ini.

Sementara itu, Mohamed Azmin memaklumkan Misi bantuan banjir Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang diadakan di daerah Kota Tinggi hari ini dilaksanakan selepas mendapat kebenaran dan kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Memetik laporan Bernama, beliau berkata misi itu diadakan bagi membolehkan kementerian turut terlibat dalam membantu rakyat yang terjejas banjir, khususnya dari segi pembersihan dan bantuan lain.

“MKN memberikan kelulusan untuk misi ini diteruskan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang amat ketat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan berbentuk barangan keperluan asas selain bergotong-royong membersihkan beberapa kawasan terjejas oleh bencana itu di Kota tinggi.

Mohamed Azmin ditanya sama ada misi itu mendapat kebenaran merentas negeri memandangkan negara kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan yang turut menyaksikan larangan merentas daerah dan negeri bagi yang negeri-negeri yang berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, semua yang terlibat dalam misi itu sentiasa diberi ingatan agar mematuhi SOP termasuk menjaga penjarakan fizikal.

Misi pascabanjir MITI itu turut mendapat kerjasama Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM). -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here