Jawatankuasa Khas Darurat: Pembangkang belum serah nama

0
2

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan barisan pembangkang belum menyerahkan tiga nama Ahli Parlimen untuk menganggotai jawatankuasa khas bebas yang bakal ditubuhkan bagi mengendalikan pelaksanaan darurat

Katanya, setakat ini hanya kerajaan sahaja yang sudah mempunyai nama untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Sehingga ini, saya belum terima lagi nama itu (daripada pihak pembangkang). Sepatutnya saya terima nama itu kerana saya diarahkan untuk menulis surat itu.

“Di pihak kerajaan, kita sudah ada nama-nama untuk dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong. Jawatankuasa ini adalah serius,” katanya dalam program RTM.

Takiyuddin berkata, antara individu yang akan menganggotai jawatankuasa itu ialah bekas ketua hakim negara, bekas panglima angkatan tentera, bekas ketua polis negara, bekas ketua pengarah kesihatan dan tokoh dalam bidang pertahanan, keselamatan, kesihatan, badan bukan kerajaan (NGO) serta aktivis sosial yang akan diperkenan dan dilantik Yang di-Pertuan Agong.

Khamis lalu, Pakatan Harapan (PH) mengesahkan menerima surat jemputan untuk menyertai jawatankuasa khas bebas yang bakal ditubuhkan bagi mengendalikan pelaksanaan darurat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, surat itu diterima Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta blok pembangkang menamakan tiga calon.

Ia menyusul Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas darurat yang berkata, sebuah jawatankuasa khas bebas akan ditubuhkan bagi menjamin pelaksanaan darurat secara adil dan telus.

Jawatankuasa itu ditubuhkan di bawah suatu Ordinan untuk menasihatkan Agong sama ada darurat besar masih berlaku dalam persekutuan bagi meneruskan tempoh kuat kuasa perisytiharan darurat atau menamatkannya lebih awal.

Agong turut berkenan dengan cadangan kerajaan menubuhkan jawatankuasa bebas yang akan dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, pakar kesihatan serta dari bidang berkaitan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here