BUKAN sahaja ‘panic buying’, rupanya ramai juga rakyat Malaysia yang mengalami ‘panic nikah’ menjelang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari.
Mungkin mengambil iktibar daripada pengalaman PKP sebelum ini, rata-rata pasangan yang merancang berkahwin pada tahun ini kelihatan panik kerana dalam tempoh PKP memang tidak dibenarkan untuk bernikah.
Apa yang meresahkan mereka ialah tempoh PKP ini mungkin berlarutan berbulan-bulan lamanya memandangkan wabak pandemik Covid-19 belum nampak tanda-tanda reda malah semakin menggila menyerang negara ketika ini.
Risau dengan keadaan itu, ramai pasangan menyegerakan perkara yang wajib dahulu dalam menghalalkan hubungan suami isteri dengan menangguhkan mengadakan majlis kenduri dan resepsi persandingan selepas PKP ditamatkan nanti.
Menariknya, demam ‘panic nikah’ ini bukan sahaja melanda pada pasangan muda, malah pasangan berusia yang berpangkat datuk dan nenek juga turut tidak melepaskan peluang ini untuk mengikat ikatan yang sah sebagai suami isteri.
Seorang pelayar Twitter yang menggunakan akaun @namasayasyafiq menciap kisah datuknya yang berusia 78 tahun menemui jodoh dengan pasangannya berusia 70 tahun dua hari sebelum PKP dilaksanakan.
Menurutnya, majlis pernikahan itu telah diuruskan oleh anak-anak pasangan mempelai tersebut dan hanya dihadiri oleh kaum keluarga terdekat.
Ciapan itu telah mencuri perhatian warganet yang rata-rata tumpang gembira selain mendoakan kebahagiaan kepada pasangan warga emas tersebut.
Isnin lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perlaksanaan PKP kepada enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor dan Sabah yang berkuatkuasa pada 13 Januari. – Malaysiapost

