Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata beliau berhak untuk memberi bantuan kepada rakyat terutama yang membabitkan hak rakyat seperti geran tanah kerana beliau masih sah sebagai pemerintah negeri.
Kenyataannya itu yang dimuat naik dalam laman Facebook beliau, hari ini ada kaitan dengan majlis penyerahan geran tanah anjuran Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah menerusi siri jelajah yang dihadirinya sejak akhir minggu lalu.
Ia selepas ada pihak mempertikaikan kewajaran majlis itu diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai lalu.
Presiden parti Warisan Sabah (Warisan) itu turut menempelak pihak yang mempersoalkan tugas jabatan negeri sedangkan jabatan persekutuan masih berfungsi.
“Kenapa mempersoalkan tugas jabatan negeri yang terus berkhidmat kepada rakyat jika jabatan persekutuan di Sabah masih boleh berfungsi walaupun DUN sudah dibubarkan?
“Sebagai pemerintah Sabah yang sah, saya berhak untuk memberikan bantuan kepada rakyat lebih-lebih lagi membabitkan hak rakyat seperti geran tanah,” katanya.
Beliau menjelaskan pembubaran DUN pada 30 Julai lalu tidak menjejaskan fungsi jabatan negeri.
“Bila tiba masanya ada writ (pilihan raya) dan pengumuman dibuat bila tarikh pilihan raya, bila tarikh mengundi, itu berbeza,” katanya.
Mohd Shafie menjelaskan, semua geran tanah yang diserahkan pada majlis anjuran JTU adalah hasil kelulusan permohonan tanah bersyarat geran anak negeri.
“Pemberian geran tanah itu mendapat sambutan baik, malah ada yang terharu ketika menerimanya kerana sebelum ini terpaksa menunggu sehingga puluhan tahun daripada kerajaan terdahulu.
“Apa pula salahnya, saya sudah serahkan sejak setahun yang lalu. Selagi writ pilihan raya belum dikeluarkan, maka dibolehkan kita menjalankan tugas selaku `caretaker government’.
“Kita belum tahu siapa calon kita, belum tahu siapa bertanding, saya pun tahu juga undang-undang..saya penggubal dasar berpuluh tahun,” katanya.
Minggu lalu, Mohd Shafie menyerahkan geran tanah menerusi majlis anjuran JTU di Tawau dan Lahad Datu sebelum ke Kinabatangan semalam dan di Kudat hari ini.
Kredit Foto: Facebook Shafie Apdal

