Perjanjian dengan buaya

0
2

ORANG Sungai, satu daripada 32 etnik di Sabah menyimpan pelbagai misteri berkaitan alam, termasuk dikatakan pernah mengikat perjanjian dengan buaya.

Walaupun pelik, itulah yang menjadi kepercayaan suku kaum Orang Sungai suatu ketika dulu yang sebahagian besar menetap di sepanjang Sungai Kinabatangan yang turut menjadi habitat ribuan buaya.

Mitos janji dengan buaya atau ‘gegejanji gunai boya’ dalam bahasa Sungai dikatakan bermula di Sungai Segama, satu lagi kawasan didiami suku kaum Orang Sungai apabila seekor raja buaya bernama Aki Torunggari meminta bantuan nenek moyang Orang Sungai, yang juga bomoh iaitu Odu Sebulig-bulig.

Masyarakat Orang Sungai juga percaya perjanjian dengan buaya cuma terpakai di Sungai Kinabatangan dan Segama

Diceritakan oleh penduduk, si buaya Aki Torunggari cedera dibujak atau ditombak seorang putera iaitu Tadtak yang marah selepas buaya jadi-jadian itu menyamar sebagai bengkarung untuk masuk ke kolam dipagari gading gajah dan membawa lari adiknya, Darupak kerana mahu mengahwini puteri itu.

Si bomoh Odu Sebulig-bulig bersetuju merawat Aki Torunggari, namun membuat perjanjian agar keturunan Orang Sungai tidak akan diganggu sampai bila-bila, apa lagi dibaham buaya dengan syarat mereka tidak kempunan menunaikan apa-apa hasrat sebelum turun ke sungai.

Ada juga syarat lain yang perlu dipatuhi ketika di sungai seperti tidak mengasah parang kerana bunyinya menjadikan buaya semakin ganas dan tidak basuh kelambu di sungai kerana boleh menarik perhatian buaya.

Bagaimanapun, dikatakan dua pantang larang itu tidak lagi diendahkan sebahagian besar masyarakat etnik Orang Sungai selepas mula memeluk agama Islam atau Kristian, tetapi berpegang teguh kepada kemestian menjamah makanan sebelum turun ke sungai.

Dikhabarkan belum pernah ada kejadian yang didengar atau disaksikan Orang Sungai dibaham buaya kerana mengasah parang atau membasuh kelambu, kecuali jika kempunan ketika turun ke sungai.

Biarpun perjanjian dengan buaya dikatakan cuma terpakai kepada Orang Sungai, masyarakat itu sentiasa menegah pelancong daripada turun ke sungai tanpa menjamah makanan atau minuman kerana bimbang kejadian buruk berlaku.

Masyarakat Orang Sungai juga percaya perjanjian dengan buaya cuma terpakai di Sungai Kinabatangan dan Segama yang menjadi penempatan asal etnik itu biarpun masyarakat Orang Sungai ada yang berhijrah ke tempat lain dan bertebaran di seluruh negeri.

Sumber: Facebook Hello Urang Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here