Kes Covid-19 meningkat: Zahid gesa kerajaan terus bantu rakyat

0
1

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang mencecah 4,029 kes, semalam.

Presiden Umno itu, berkata sepatutnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah mengurangkan pergerakan orang ramai dan semua pihak tidak boleh mengambil mudah mengenai perkara itu.

Namun, katanya, ada segelintir rakyat terutama peniaga kecil yang berpendapatan harian terpaksa keluar untuk bekerja demi menyara diri dan keluarga.

“Demi mencari sesuap nasi mereka nekad. Memberanikan diri memgambil risiko walaupun dalam keadaan jualan yang lesu.

“Mereka yang tidak dibenarkan berniaga langsung seperti peniaga pasar malam pasti lebih berat dilema dan bebanan dihadapi,” katanya dalam kenyataan di Facebook, malam tadi.

Zahid berkata, pastinya golongan itu terpaksa melakukan serba sedikit pergerakan untuk menampung sumber pencarian yang hilang.

“Jika mahu orang ramai benar-benar tidak ke sana ke sini dan berada di rumah, kita perlu bantu mereka supaya dapat berbuat demikian.

“Antaranya kelulusan moratorium bayaran pinjaman bank secara automatik dan pengeluaran skim i-Sinar kategori 2 tanpa syarat perlu disegerakan,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, sebelum melaksanakan PKP kerajaan sepatutnya perlu memikirkan usaha mengurangkan bebanan rakyat dalam tempoh berkenan.

“Selepas bebanan kewangan ditanggung rakyat dikurangkan, bolehlah kita mengenakan pelaksanaan PKP yang lebih ketat untuk melawan penularan Covid-19.

“Justeru, Umno terus mendesak kelulusan moratorium bayaran pinjaman bank secara automatik dan skim i-Sinar tanpa syarat untuk rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Zahid berkata, kes jangkitan semalam adalah tertinggi pernah direkodkan walaupun selepas beberapa hari PKP dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, katanya, rakyat jangan berputus asa dan terus menaruh keyakinan kepada petugas barisan hadapan yang sedang berjuang sepenuh hati.

Katanya, semua pihak perlu memberi kerjasama penuh dan patuh prosuder operasi standard (SOP) untuk
bersama-sama membantu barisan hadapan mengharungi cabaran ini.

“Sebab itu juga saya percaya matlamat utama PKP mengurangkan pergerakan orang ramai tidak boleh “take for granted”.

“Antaranya Taman Awam dibuka semula kepada orang ramai semasa PKP dibimbangi mengundang risiko penularan,” katanya.

Hari keempat pelaksanaan semula PKP semalam, menyaksikan kes positif harian Covid-19 di negara ini, pertama kali melepasi angka 4,000 kes dengan Selangor mencatatkan jangkitan tertinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada 4,029 kes yang direkodkan hari ini, hanya lapan membabitkan kes import.

Beliau berkata, dengan pertambahan kes baharu itu, Malaysia kini mencatatkan 155,095 kes positif Covid-19, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 37,126 kes. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here