
PEJABAT Perdana Menteri (PMO) menjelaskan pembinaan dewan di Parlimen Pagoh bernilai RM35.43 juta, melibatkan tiga buah dewan orang ramai.
Merujuk berita yang tular di media sosial mengenai perkara itu, PMO memaklumkan ia melibatkan pembinaan Dewan Gersik, Tangkak bernilai RM13 juta, Dewan Masyarakat Bukit Pasir, Muar bernilai RM16.66 juta dan Pusat Komuniti Bukit Kepong, Muar bernilai RM5.77 juta.
Peruntukan pembangunan itu, jelasnya bukan untuk pembinaan sebuah dewan seperti digembar-gembur sesetengah pihak.
“Pembinaan ketiga-tiga dewan ini adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat.
“Perolehan bagi ketiga-tiga projek pembinaan dewan ini bukan secara rundingan terus tetapi mengikut tatacara perolehan secara tender yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.
“Dakwaan seperti yang ditularkan adalah berniat jahat dan Pejabat Perdana Menteri merasa kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab ini,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub menerusi ciapan di Twitter mempersoalkan pembinaan dewan tersebut yang didakwa dilaksanakan secara rundingan terus.
“Khabarnya, ‘direct nego’ untuk bina dewan orang ramai RM35 juta. Kalau benar inilah bala darurat. Nak soal kat mana? Pintu parlimen dikunci.
“Sembang di kedai mamak pintu penjara terbuka. Nak bergayut di pagar istana apa kan daya. 35 juta untuk belanja rakyat masa covid ni kan bagus,” ciapnya.
Sebelum itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir mahu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin memberi penjelasan mengenai perkara itu.
Akmal berkata, perkara itu perlu dijelaskan memandangkan ia membabitkan kos yang bernilai besar sehingga mencecah RM35 juta terutama ketika negara berdepan pandemik Covid-19. – Malaysiapost
