Darurat diisytihar atas dasar perkara 105 Perlembagaan Persekutuan

0
1

PENGISYTIHARAN darurat dilaksanakan mengikut perkara 105 dalam Perlembagaan Persekutuan dan dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata demikian dalam rancangan bicara naratif yang disiarkan RTM.

Menurut Takiyuddin, bagi beliau darurat ini satu keadaan yang berupakan ancaman terhadap keselamatan, kehidupan, ekonomi dan juga ketenteraman awam dalam negara ini yang sebenarnya tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran yang biasa.

“Dalam keadaan negara kita ini jelas, ianya bukan lagi epidemik tapi satu pandemik, satu wabak penyakit yang bukan saja ada di negara kita saja tapi diseluruh dunia.

Beliau berkata, pada peringkat awal penularan wabak Covid-19, kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya mengawal melalui akta 342 dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun kini kes semakin meningkat tinggi.

“Peringkat awal kita masih ingat lagi, pada 25 Januari 2020, negara kita termasuk di dalam negara yang ada wabak Covid-19.

“Pada masa itu, ada Akta 342 iaitu akta pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit 1988 dibawahnya banyak peraturan-peraturan dilakukan antaranya PKP,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan telah mengambil langkah yang serius susulan peningkatan kes positif Covid-19 untuk menangani wabak ini dengan Akta 342 tersebut iaitu menggunakan Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam perkara 105 jelas nyatakan bahawa proklamasi darurat diperuntukkan untuk dilaksanakan dan ianya diputuskan oleh pihak kerajaan.

Katanya, atas dasar itulah, bahawa pada 11 Januari lalu, jemaah Menteri telah bersidang secara khas dipengerusi oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, setelah melihat situasi penularan Covid-19 menjadi kritikal.

“Maka kabinet Persekutuan telah membuat keputusan untuk kita menasihatkan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan perkara 105 tersebut supaya kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda menggunakan kuasanya mengisytiharkan darurat kepada seluruh Persekutuan.

“Jadi, Alhamdulillah kita menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda yang memahami keadaan yang berlaku, bagi saya (tindakan YDP Agong) secara berhemah, bijaksana dan ihsan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau turut menjelaskan pengisytiharan darurat ini dilaksanakan dengan penuh telus dan tiada paksaan.

“Namun, ada orang menyatakan bahawa kerajaan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong maka Baginda tidak ada pilihan sebaliknya menerima nasihat itu.

“Hakikatnya tidak dan ini fakta… Sebelum Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan mengisytiharkan darurat telah mendengar pandangan-pandangan pakar daripada peguam negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Kementerian Malaysia serta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Mereka dipanggil untuk mengadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk Baginda mendapat suatu pandangan yang jelas,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here