PKPB di seluruh Sarawak kecuali Sibu berkuatkuasa Isnin ini

0
2

JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, hari ini mengisytiharkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua bahagian di negeri itu.

Bagaimanapun, hanya Sibu terkecuali dari PKPB itu kerana daerah berkenaan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini sehingga 29 Januari.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata PKPB itu berkuatkuasa selama 14 hari mulai 18 Januari ini pada jam 12.01 tengah malam hingga jam 11.59 malam, 31 Januari.

Beliau yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata, prosedur operasi standard (SOP) berhubung PKPB itu akan diumumkan esok.

“Langkah ini (pengisytiharan PKPB) dibuat selepas kita melihat dan menilai situasi kes positif di Sarawak yang semakin meningkat,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Mengenai SOP bagi rumah ibadat selain Islam, Uggah berkata ia akan dikeluarkan oleh Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), manakala SOP bagi perhimpunan di rumah panjang dan kampung-kampung akan dikeluarkan Majlis Adat Istiadat Sarawak.

Mengenai pengoperasian institusi pendidikan di kawasan PKP dan PKPB di Sarawak, Uggah berkata, sesi persekolahan secara bersemuka hanya akan membabitkan murid yang akan menduduki peperiksaan utama.

Ia membabitkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 dan 2021 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

“Murid sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian yang akan menduduki peperiksaan itu dibenarkan kembali ke asrama mulai 16 Januari 2021 selaras dengan pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia sebelum ini.

“Selain itu, semua murid sekolah rendah (Prasekolah, Tahun 1 hingga Tahun 6) dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 di sekolah menengah di kawasan PKP dan PKPB negeri Sarawak akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari 2021,” katanya.

Menurutnya, ketetapan berkenaan juga terpakai kepada murid Semester 2 SVM dan Semester 2 DVM tahun 2020 di Kolej Vokasional negeri Sarawak. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here