Isu bina dewan RM35 juta: ‘Inilah bala darurat, pintu Parlimen dikunci’ – Salahuddin

0
2

“INILAH bala darurat. Nak tanya kat mana? Pintu Parlimen dikunci,” kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Salahuddin Ayub.

Kenyataan Ahli Parlimen Pulai dipercayai merujuk kepada isu kelulusan pembinaan dewan di Parlimen Pagoh yang didakwa menelan kos tinggi sehingga mencecah RM35 juta.

Salahuddin menerusi ciapan di Twitternya berkata, beliau dikhabarkan bahawa projek pembinaan dewan itu diluluskan menerusi rundingan terus.

“Khabarnya, ‘direct nego’ untuk bina dewan orang ramai 35 juta.

“Kalau benar inilah bala darurat. Nak soal kat mana? Pintu parlimen dikunci.

“Sembang di kedai mamak pintu penjara terbuka. Nak bergayut di pagar istana apa kan daya. 35 juta untuk belanja rakyat masa covid ni kan bagus,” katanya.

Terdahulu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir mahu
Tan Sri Muhyiddin memberi penjelasan mengenai perkara itu.

Akmal berkata, perkara itu perlu dijelaskan memandangkan ia membabitkan kos yang bernilai besar sehingga mencecah RM35 juta.

“Apakah kewajaran pelaksanaan projek pembinaan dewan bernilai lebih RM35 juta ketika negara berhadapan dengan wabak Covid19?

“Kenapa jumlah begitu besar untuk bina sebuah dewan dan kenapa di Pagoh, adakah terdapat kepentingan politik atau peribadi?,” katanya.

Dalam hantaran sama, Akmal turut mengepilkan dokumen berkenaan yang menggunakan kepala surat dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya bertarikh 11 Januari.

Surat berkenaan memaklumkan Perdana Menteri telah bersetuju meluluskan peruntukan itu bagi pelaksanaan pembinaan dewan di Parlimen Pagoh dan memohon Jabatan Kerja Raya dilantik sebagai pelaksana projek. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here