Mufti Selangor nafi keluar kenyataan isu Atomy melalui rakaman telefon

0
2

JABATAN Mufti Selangor menafikan mengeluarkan kenyataan melalui rakaman suara panggilan telefon berkaitan soal jawab agama berhubung isu perniagaan Atomy.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, berkata audio rakaman panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang tular media sosial itu, bukan kenyataan rasmi jabatan tersebut.

Beliau berkata, semua jawapan agama yang dikeluarkan oleh jabatan tersebut adalah pandangan hukum bagi menjawab soalan dikemukakan.

Beliau berkata, walaupun jawapan tersebut bukan fatwa tetapi ia merupakan suatu panduan hukum yang perlu dijadikan pedoman dalam kehidupan harian sebagai seorang Muslim.

“Ini kerana tidak semua isu atau persoalan perlu difatwakan. Fatwa merupakan keputusan kepada persoalan berkaitan isu baharu yang tidak jelas status hukumnya.

“Sesuatu perkara itu tidak dianggap sebagai fatwa sehingga ia diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook semalam.

Mohd Tamyes berkata, berkaitan dengan isu perniagaan Atomy atau mana-mana perniagaan yang bersifat nasional akan dirujuk dan diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) yang diurusetiakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Umat Islam dinasihatkan agar meninggalkan segala aktiviti, kumpulan, pertubuhan dan perniagaan yanh diketahui dengan jelas tujuannya untuk penyebaran agama atau fahaman yang bertentangan dengan Islam,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here