
MANGSA banjir di Pahang semakin berkurangan kepada 5,751 orang daripada 1,599 keluarga di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah, jam 8.30 pagi ini.
Menerusi portal info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir pagi ini berkurang berbanding petang semalam yang merekodkan 6,444 orang daripada 1,776 keluarga yang ditempatkan di 86 PPS.
Berdasarkan rekod, Pekan mencatatkan jumlah paling ramai iaitu 2,928 mangsa daripada 832 keluarga diikuti Maran dengan 1,337 orang (388 keluarga) dan Kuantan seramai 849 orang (195 keluarga).
Di Temerloh pula membabitkan 392 mangsa daripada 117 keluarga dan Bera 245 orang (67 keluarga).
Sementara itu, laporan infobanjir.water.gov.my turut memaklumkan dua sungai masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Jelai, Jeram Bungor, Lipis dan Sungai Pahang di Serambi (Paloh Hinai), Pekan.
Manakala, Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran pula melepasi paras amaran.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan notis angin kencang timur laut melebihi 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi melebihi 4.5 meter dijangka berlaku di perairan Pahang, hari ini. -Malaysiapost
Foto: Bernama
