PAS ikut ‘sunnah’ Trump kalah pilihan raya mahu jadi kerajaan – Mat Sabu

0
2
Mohamad Sabu

PRESIDEN Amanah, Mohamad Sabu menyatakan PAS mengikut ‘sunnah’ Donald Trump yang kalah pada pilihan raya, tetapi mahu menjadi kerajaan.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, sebelum ini Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyamakan lawan mereka seperti Trump, namun hakikat tanpa disedari PAS sama seperti bekas Presiden Amerika itu.

“Donald Trump tewas pilihanraya Presiden, tetapi tetap mahu menjadi kerajaan. Pengikutnya yang bimbang hilang kuasa dengan semangat ‘White Supremacy’ memecah masuk Capitol Building di Washington DC sehingga menyebabkan huru hara di bangunan Parlimen US (Amerika Syarikat).

“Selepas kekecohan oleh penyokongnya, Donald Trump meluluskan perintah darurat di Washington DC yang dilihat untuk mengganggu peralihan kuasa,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Mohamad berkata, tindakan dilakukan Trump itu sama seperti PAS dan sekutunya menggunakan ‘Malay Supremacy’ untuk dapatkan kuasa.

Katanya, laungan nasib Melayu dan Islam terancam bergema di pentas dan media PAS selama 22 bulan.

“Ahli ahli akademik pro mereka digunakan untuk meniupkan isu yang sama. Islam terancam, Melayu terancam. Isu arwah Adib, LGBT, RUU 355, ICERT dan Buy Muslim First menjadi zikir harian mereka.

“Tetapi hari ini sudah hampir setahun PAS menjadi kerajaan, yang berjaya mereka laksanakan ialah menaikkan cabutan khas judi sebanyak 22 kali setahun.

“Lain-lain isu tidak lagi kedengaran. Inilah kelompok yang sama dengan Trump yang benar-benar memperalatkan agama dan bangsa semata-mata untuk peroleh kuasa. PAS ikut sunnah Trump,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Abdul Hadi berkata, mereka yang menolak perisytiharan Proklamasi Darurat disifatkan sebagai sudah lupa kepada sunah Nabi Muhammad yang mengajar cara untuk menghadapi darurat wabak dengan kadar dan tempoh tertentu.

Katanya, lebih dikesali, kelompok itu dilihat lebih menghayati ‘sunnah’ Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang berpolitik tanpa mempedulikan wabak yang kian kritikal.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here