Abdullah Husin dilantik Naib Pengerusi PN Johor

0
2
JOHOR BAHRU 10 MEI 2018. Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin mengadakan sidang media selepas Pilihan Raya ke 14 di Pejabat Perhubungan Pas Negeri Johor. NSTP/ZAIN AHMED

PESURUHJAYA PAS Johor, Abdullah Husin hari ini dilantik sebagai Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bagi negeri itu.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi laman Facebook miliknya memaklumkan, mesyuarat berkenaan pelantikan tersebut disertai oleh barisan pimpinan PAS dan Bersatu Johor.

“Kami telah membuat beberapa ketetapan penting iaitu pembentukan struktur PN Johor dengan perlantikan, Abdullah Husin dan Senator Ir. Nasir Hashim sebagai Naib pengerusi, Datuk Dr Sahruddin Jamal sebagai Setiausaha, Ahmad Al Johari Mohd Yusof sebagai Penolong Setiausaha dan Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad sebagai Bendahari.

“Manakala, Khairul Faizi Ahmad Kamil sebagai Ketua Penerangan, Azlinda Abd Latif sebagai Ketua Wanita dan Ahmad Nawfal Datuk Mahfodz sebagai Ketua Pemuda,” tulisnya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, banyak perkara telah dibincangkan dengan tumpuan utama diberikan kepada strategi dan pendekatan PN Johor untuk terus secara konsisten, membela nasib dan kebajikan rakyat, khususnya rakyat Johor.

Katanya, semua pimpinan PN Johor telah menyatakan harapan besar agar dapat mencetuskan gelombang penyatuan yang kukuh demi kemaslahatan negara dan ummah.

Dalam pada itu, menurut Setiausaha Badan Perhubungan PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, mesyuarat PN peringkat negeri itu diadakan secara maya buat julung kalinya.

Katanya, mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Muhyiddin Yassin.

“Mesyuarat tersebut membincangkan soal pembentukan jawatankuasa utama PN peringkat Negeri Johor.

“Selain itu, fokus utama perbincangan lebih tertumpu kepada hal berkaitan kebajikan rakyat Johor.

“Apatah lagi, dalam keadaan negara sedang dilanda Covid-19 dan Johor antara yang terkesan dengan bencana banjir,” katanya.

Beliau berkata, Muhyiddin turut menegaskan kepada semua pimpinan PN Johor agar terus fokus dalam membantu rakyat. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here