MESKIPUN hampir setahun negara dilanda pandemik Covid-19, namun masih ada individu yang percaya ianya adalah rekaan atau teori konspirasi semata-mata.
Seorang doktor kesal kerana akibat terlalu percaya kepada fahaman yang salah, seorang suami terlantar koma manakala isterinya sedang nazak dan bertarung nyawa di hospital kerana dijangkiti Covid-19.
Perkongsian seorang Dr Malar Santhi Santherasegapan di Facebook, menceritakan kisah seorang isteri yang degil untuk melakukan ujian swab Covid-19 walaupun beberapa kali datang untuk mendapatkan rawatan kerana tidak sihat badan.
Menurut Dr Malar, gara-gara lebih percaya cakap suami, wanita itu sanggup menipu dan merahsiakan keadaan dirinya yang telah mengalami simptom Covid-19.
“Ni saya kongsikan satu kisah tipu. Tak sihat tapi katanya tak demam, tak batuk tak selsema. Deria bau tak hilang. So apa yang tak sihatnya? Tak sedap badan, dan tak ada selera makan, rasa penat.. Itu sahaja katanya.
“Hari ketiga tak sihat, dia pergi ke klinik GP, diperiksa oleh doktor, dan disarankan buat Covid test. Dia tak nak sebab suami dia tak percaya Covid ni.. Saja doktor nak kaut untung, sebab tu suruh test, kata suaminya.
“Dia takde “close contact” maka tak boleh dipaksa buat Covid test, jadi discharge lah dengan ubat,” kata Dr Malar.
Namun tiga hari kemudian, menurut Dr Malar, pesakit wanita itu telah datang lagi untuk membuat pemeriksaan berikutan keadaan kesihatannya terus merosot tetapi malangnya dia masih berdegil untuk melakukan ujian swab Covid-19.
Malah, kata Dr Malar, wanita itu lebih percayakan nasihat suaminya daripada pakar perubatan apabila lantang mendakwa wabak Covid-19 adalah konspirasi ciptaan manusia.
“Hari keenam tak sihat.. Sama sahaja ceritanya. Tak demam, tak ada simptom lain. Tak sedap badan jeeeerrr…
“Hmmhhh… Kali ni setelah diperiksa, doktor dengar bunyi tak best dalam paru-paru. Maka buatlah x-ray dada.. Tadaaaa! Dah nampak “Pneumonia” ala ala jangkitan Covid.
“Sekali lagi dia dinasihatkan dan dipujuk untuk buat swab test. Masih tak nak. Suaminya lagi lantang daripada pesakit sendiri, menolak saranan doktor. Dia memang pasti itu bukan Covid-19, ye lah Covid ni konspirasi je, pandemik jer,” keluh Dr Malar.

Bagaimanapun, akhirnya suami wanita itu terpaksa akur dalam kemarahan untuk membenarkan isterinya melakukan ujian Covid-19 kerana semakin sukar untuk bernafas.
“Hari kesembilan tak sihat, ke hospital juga akhirnya. Nafasnya nampak laju sikit, nampak letih dan mengah. Si suami nampak agak risau.
“Oksigen dalam 94-95 peratus sahaja. Buat x-ray sekali lagi.Tadaaaaaaaa! Tu dia.. Full blown Covid-19 Pneumonia, mmg dah tak lain tak bukan!
“Kali ni baru setuju untuk dibuat swab test Covid-19. Suami sempat sergah “Korang saja buat swab sebab nak charge mahal-mahal kan?,”

Menurut Dr Malar, selepas itu suami wanita itu baru mengaku rupanya isterinya telah mengalami beberapa simptom Covid-19 sejak seminggu yang lepas.
Malah apa yang menyedihkan, kata Dr Malar, oleh kerana tegar dengan fahaman wabak Covid-19 ini adalah dongeng dan konspirasi ciptaan manusia, si suami menyuruh isterinya menelan vitamin c terlalu kerap dalam sehari.
“Swab test RT PCR Covid-19 positif!
“Doktor tak terkejut pun. Pesakit dan suaminya tak usah cakaplah. Barulah nak mengaku rupanya demam dah 10 hari, cirit birit 10-15 kali sehari sebab amek vitamin C bergelen gelen. Laahhh.. patut lah ujian darah buah pinggang tunjuk semua nombor tinggi menggunung,” katanya.
Justeru, Dr Malar berharap kisah suami isteri ini menjadi tauladan kepada semua rakyat Malaysia supaya tidak memandang ringan dan menyifatkan musuh yang tidak boleh dilihat ini sebagai dongeng.
“Setelah dirujuk ke hospital covid negeri berkenaan, pesakit ni masih nazak, masih bertarung nyawa.. Suami pun dah positif dan diberi bantuan pernafasan juga, koma juga. “Memang tipu je kan? Pandemik kan? Saya harap pasangan ni didatangi malaikat ketika dalam koma dan diberi hidayah untuk menerima hakikat pandemik Covid-19.
“Semoga mereka boleh beri kesedaran kepada orang lain setelah sembuh nanti.
“Sila berjumpa doktor dan ikut saranan doktor sekiranya anda bergejala, tak kiralah ada ‘close contact’ Covid atau tidak,” katanya. -Malaysiapost

