Semoga adik Mohamad Nor Atho’ullah tabah

0
1

SUNGGUH berat dugaaan dihadapi seorang kanak-kanak yang juga pesakit Covid-19 apabila bukan sahaja terpaksa menjalani kuarantin sendirian, lebih malang bapanya disahkan meninggal dunia akibat wabak itu.

Kisah adik Mohamad Nor Atho’ullah, 11, itu mendapat perhatian warganet apabila video mengenai apa yang dialaminya tersebar di media sosial hari ini.

Dalam video berdurasi 55 saat itu, kanak-kanak berkenaan kelihatan ditenangkan pesakit Covid-19 lain yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor.

Difahamkan, bapa kanak-kanak itu Mohamad Kamil Ghazali, 51 yang menghidap kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang tahap empat dimasukkan ke Hospital Serdang pada 31 Disember.

Menurut kakaknya, Nur Kamilatul Alifah, 26, mereka tidak menunjukkan simptom malah dimasukkan ke hospital kerana kakinya bengkak serta dikhuatiri bernanah, namun dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh pada 1 Januari selepas sesak nafas dan didapati positif Covid-19.

“Jenazah ayah selamat dikebumikan kira-kira 7 malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketari , Bentong, Pahang dengan bantuan ahli keluarga.

“Sedih kerana tidak dapat mengurus, mencium dan memberi penghormatan terakhir kepada arwah ayah sebelum dikebumikan.

“Namun, ada hikmahnya kami adik-beradik dikuarantin supaya tidak meratapi pemergian ayah,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Nur Kamilatul Alifah berkata, dia bersama ibu, Norazah Aziz, 50, dan lima adik beradik lain pula sebagai kontak rapat menjalani saringan dan disahkan positif pada 10 Januari sebelum dimasukkan ke PKRC MAEPS, Rabu lalu selepas berkuarantin di rumah terlebih dahulu.

Namun, ibunya dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh pada malam Rabu lalu juga apabila doktor mendapati radang pada paru-paru.

“Terima kasih kepada semua kerana mendoakan dan menghulurkan sumbangan kepada kami.

“Sebagai anak, saya bersyukur kerana ramai doakan arwah ayah walaupun mereka tidak mengenainya,” katanya.

Dia bersama adik-beradiknya yang lain, sudah dibenarkan pulang ke rumah hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here