Taman awam DBKL dibuka, namun pengunjung perlu ikut SOP

0
3

SEMUA taman awam di sekitar bandar raya Kuala Lumpur dibenarkan beroperasi namun pengunjung perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata kebenaran itu mengambil kira pandangan pemimpin masyarakat yang meminta agar taman awam dibuka kepada orang ramai.

“Berhubung isu penutupan semua taman awam oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), maklumbalas daripada banyak pihak mengatakan ia semestinya perlu selari dengan apa yang diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Contohnya beriadah bersendirian termasuk berbasikal adalah dibenarkan.

“Jadi kemana mereka (beriadah) ingin pergi jika taman awam ditutup, maka selepas menimbangkan semua perkara, kita membuat keputusan taman awam DBKL hendaklah dibuka,” katanya melalui kenyataan yang disiarkan secara langsung di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, orang ramai bagaimanapun diingatkan agar mematuhi SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pihak DBKL juga perlu kawal selia terutama pematuhan SOP termasuk menyediakan pintu atau laluan berasingan untuk masuk dan keluar ke taman, alat pemeriksaan suhu serta pendaftaran MySejahtera.

“Jadi kita bersetuju taman awam dibuka selagi mana ia tidak bertentangan dengan SOP KKM” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here