‘DAP mahu Shafie sebagai PM’ – Dr Mahathir

0
3

TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng lebih cenderung memilih Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri bagi gabungan pembangkang.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau tidak menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih jawatan berkenaan sekiranya Presiden PKR itu dapat membuktikan sokongan majoriti ahli parlimen.

Dr Mahathir menafikan tanggapan yang mengatakan beliau tidak meletakkan keyakinan kepada Anwar untuk menggantikannya dan menegaskan bahawa dirinya sememangnya berniat untuk menyerahkan jawatan berkenaan.

“Tidak, saya tidak menentangnya, tetapi dia mahu saya mengundurkan diri sebelum saya menyelesaikan tugas saya. Saya beritahu dia, saya akan berundur.

“Malah, saya beritahu beri saya enam bulan kerana saya mempunyai tugas yang harus dilakukan.

“Ya, dia akan menjadi perdana menteri tetapi ada satu hal yang harus anda terima, bahawa dia (mesti) mendapat sokongan majoriti.

“Saya tidak dapat menentukannya, saya tidak boleh mengatakan ‘anda menjadi perdana menteri’. Anda mesti mendapat sokongan majoriti anggota parlimen,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Ditanya mengapa beliau berpendapat Shafie adalah calon Perdana Menteri yang lebih baik daripada Anwar, sebaliknya Dr Mahathir menuding jari kepada Guan Eng.

Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) memerlukannya untuk menarik minat pengundi Melayu.

“Ini pandangan Guan Eng, DAP.

“Anwar sama sekali tidak mahu saya berada di sana (sebagai perdana menteri). Tetapi jika saya tidak berada di sana, orang Melayu tidak akan menyokong PH. Dan dia tidak akan dapat menjadi perdana menteri,” katanya.

Jun lalu, Dr Mahathir secara terbuka menyokong Shafie sebagai calon perdana menteri pakatan pembangkang berikutan pertemuan dengan pemimpin tertinggi DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Pada masa itu, DAP dan Amanah telah mengusulkan agar PH membincangkan cadangan tersebut.

PKR kemudian menegaskan mereka tetap mahu Anwar sebagai calon perdana menteri.

Sejak disingkir dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tahun lalu, Dr Mahathir mengasaskan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) baru-baru ini menolak permohonan Pejuang untuk didaftarkan sebagai parti politik.

Ketika ditanya parti Pejuang ingin bekerjasama dalam pilihan raya akan datang, Dr Mahathir tidak menjawab secara langsung, namun tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Umno.

Bagaimanapun, jelas Dr Mahathir, Pejuang tidak akan bekerjasama dengan ahli politik yang telah didakwa di mahkamah.

“Parti utama harus bekerjasama dengan kami untuk membentuk kerajaan kerana dalam pilihan raya, kemungkinan besar baik kiri mahupun kanan, baik Perikatan Nasional (PN) atau PH, akan sukar mendapat majoriti yang jelas.

“Saya tidak akan bekerjasama dengan orang yang didakwa di mahkamah atas sesuatu kesalahan.

“Sama ada mereka didapati bersalah atau tidak, kerana orang tahu mereka bersalah,” tegasnya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here