PENDAKWAH terkenal Ustaz Ebit Lew membantu keluarga seorang pemuda yang maut akibat banjir di Kampung Manor, Kuala Krai, Kelantan minggu lalu dengan menunaikan hasrat arwah membina rumah.
Ebit yang berkesempatan menziarah keluarga Allahyarham Mohammad Hakim in Rahim, 20, membantu dengan membelikan barangan untuk menaiktaraf rumah keluarga mangsa banjir itu.
“Sayu hati dapat ziarah ke Kampung Manjor Kuala Krai keluarga Arwah Adik Hakimi yang kepenatan membantu menyelamatkan orang kampung semasa banjir.
“Terkesan dengar kisah bila banjir, (arwah) dari 10 malam sampai 7 pagi kejut orang kampung dan bantu pindahkan orang kampung, kereta, dan barang supaya diangkat ke atas bukit pasang khemah,” katanya dalam hantaran yang dikongsi di Facebooknya.
Menurutnya, arwah hanya berehat dua jam sahaja ketika banjir mula melanda kampung mereka susulan membantu misi menyelamatkan orang kampung yang terjejas sebelum terjatuh dalam air dan lemas.
“Cita-cita Hakimi nak bina rumah untuk keluarganya. Saya lihat rumah keluarga yang tiada bilik dan tandas kecil diluar.
“Saya hadiahkan belikan barang untuk tambah bina dua bilik dan tandas dalam rumah. Terus belikan barang untuk binaan dan terus bayaran,” katanya yang turut memberikan sedikit wang belanja untuk keluarga arwah.
Ebit berkata, beliau kagum mendengar kisah pemuda itu yang bercita-cita menjadi polis.
“Umur 20 tahun baru. Maknya sedih sebab tempat lemas dekat dengan rumah,” katanya.
Dalam pada itu, Ebit turut sempat menziarah kubur arwah dan berdoa bersama keluarga mangsa. – Malaysiapost

