Apa guna swasta? – Norizam bidas FAM

0
2

PEMILIK The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman membidas kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai pemotongan tiga mata kepada Kelantan FC sekiranya Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) gagal melunaskan tunggakan gaji 11 bekas pemainnya.

Melalui hantaran di Facebook Zamsaham, Norizam mengesahkan persatuan terbabit sudah menjelaskan mereka bersedia melunaskan baki hutang terbabit sementara Kelantan FC pula akan terus fokus untuk memandang ke hadapan.

Norizam berpendapat FAM sepatutnya membantu supaya urusan penswastaan dapat berjalan dengan lebih lancar dan tidak sekadar berfikir untuk menjatuhkan hukuman kepada mana-mana pasukan.

“KAFA dah jelaskan baki hutang mereka akan bayar. Kelantan FC dah nak fokus ke depan. Penswastaan yang kurang bijak. Hutang KAFA, denda ke Kelantan FC. Apa guna swasta?

“FAM pula sepatutnya membantu penswastaan. Bukannya awal-awal dah cerita nak tolak tiga mata ke media tanpa sebarang pertanyaan kepada kelab dan KAFA terlebih dahulu,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Kelantan FC akan dikenakan tindakan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Perdana musim ini, sekiranya KAFA gagal melunaskan tunggakan gaji 11 bekas pemain pasukan berkenaan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata, keputusan itu dicapai pada Jawatankuasa Status FAM dan bakal dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM, sekiranya KAFA gagal melunaskan tunggakan tersebut dalam tempoh yang ditetapkan.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Status FAM Mohd Joehari Ayub dilaporkan berkata 11 bekas pemain Kelantan sudah membuat tuntutan rasmi berjumlah RM187,778.92 kepada KAFA.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here