SEORANG pemilik restoran Ikan Bakar dan Thai Street Food (SIAM) mendakwa resipi daging Harimau Menangis, ibu selebriti popular Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohamed tersebut adalah kepunyaannya.
Menerusi Facebooknya, Farhan Yaacob semalam berkongsi kisah bagaimana beliau memberi resipi berkenaan kepada Noor Kartini.
“Sejujurnya, resepi Daging Harimau Menangis yang digunakan oleh Auntie Tini Kitchen (Noor Kartini) adalah resepi dari Siam Restoran, namun sekiranya diolah resepi, tidak lagi berkaitan,” luahnya.
Jelasnya, beliau sendiri yang berkongsi resepi Siam tanpa dipengaruhi tetapi lebih kepada kepercayaan konsep kekeluargaan ketika dihubungi oleh seorang ahli keluarga mereka.
“Saya, isteri (Wan Adibah) dan SIAM (restoran) tiada masalah apabila mereka komersialkan (walaupun terasa hati kerana pertama keutamaan mereka minta sebab mahu makan bersama keluarga di Sabah).
“Tetapi apabila mereka mengeluarkan klip video, saya merasakan mereka sangat ‘over’. Anda boleh tafsir apa sahaja, tetapi jagalah adab.
“Ini adalah untuk memberi pencerahan kepada semua pihak kerana ramai yang tahu dan tag saya di media sosial.
“Ada di kalangan keluarganya yang membantah kerana pertama keutamaan adalah permintaan resipi atas dasar sebuah keluarga, dan saya tidak dimaklumkan secara rasmi idea komersial.
“Biarlah semua berniaga walaupun menunya sama kerana benda sedap pasti akan ada yang menunggu.
“Hubungan saya, Isteri, SIAM serta keluarga Auntie Tini tiada apa apa isu dan bersahabat rapat sehingga saat ini.
“Perkataan ‘Gol’, tiada mana-mana negara claim, kerana perkataan ini membawa maksud sama, common,” katanya.
Beliau turut berkata, restoran SIAM bukan perintis Harimau Menangis kerana sahabatnya iaitu Suwarin Jinda sebelum ini dikenali Hostel Pantai juga popular dengan produk itu, ia adalah hak milik sesiapa sahaja.
“Berkongsi rezeki supaya lebih diberkati. Jujurlah dalam semua perkara,” tulisnya.
Noor Kartini menerusi syarikatnya, Noor Khan Enterprise semalam memohon maaf atas kesilapan kata-kata berhubung penggunaan jenama Harimau Menangis keluaran ‘Aunty Tini Kitchen’ dalam sebuah video yang tular baru-baru ini.
Susulan itu, Farhan berkata dia dan isterinya tiada masalah atau iri hati dengan Noor Kartini kerana niatnya yang mahu kormesialkan daging Harimau Menangis.
Bagaimanapun, katanya, itulah perniagaan, perlu cepat dan kreatif.
“Auntie Tinie mungkin antara yang awal membuat ‘packed food’ tersebut.
“Yang menjadi isu, (berdasarkan video yang tersebar), secara terangan Auntie Tini sendiri sebut tidak boleh guna perkataan Harimau Menangis, jadi sekiranya Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) luluskan, apa yang perlu kami (dan peniaga lain) lakukan adalah menukar nama.
“Saya bersangka baik, Auntie Tinie bergurau, tetapi sebagai ‘public figure’, perlu menyusun perkataan dengan baik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut memohon maaf sekiranya hantaran di Facebooknya mengguris hati sesiapa pun termasuk Noor Kartini, keluarga terdekat ataupun ejen mereka yang mencari rezeki ketika musim pandemik Covid-19 ini.
“Sama sama berkongsi apa yang dianugerahkan Allah Taala, lebih diberkati.
“Semoga semua yang berbicara, janganlah berkata buruk, jagalah bahasa, mereka juga punyai perasaan.
“Fokus pada isu, bukan menyerang peribadi. Kita semua berkongsi bumi yang sama,” katanya.
Selain permohonan maaf, Noor Kartini turut menjelaskan, pihaknya tidak pernah menghalang mana-mana individu menjual produk sama selagi tidak menyerupai bungkusan produk yang dipasarkannya.
Katanya, permohonan paten yang tular itu adalah bertujuan untuk melindungi penggayaan, susun atur grafik, kod warna dan tulisan Harimau Menangis pada bungkusan produk itu.
Sejak semalam, netizen mula mengkritik ibu kepada pengacara popular itu selepas tangkap layar permohonannya di MyIPO tersebar. – Malaysiapost
Foto Kredit: Farhan Yaakob

