Bersatu hairan rakan sekutu beria-ria mahu PRU15

0
2
KUALA TERENGGANU 26 APRIL 2018. Calon Pakatan Harapan Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Razali Idris. NSTP/ROZAINAH ZAKARIA

AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Senator Datuk Razali Idris hairan dengan rakan sekutu dalam gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang beria-ria mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Katanya, ia sesuatu yang aneh kerana selain pembangkang, rakan sekutu dalam kerajaan sendiri yang mahu PRU15 disegerakan berlandaskan persaingan kuasa dan memomokkan bahawa kerajaan PN sentiasa tidak stabil. 

Beliau juga berpandangan hampir setahun melawan Covid-19 termasuk berperang dengan persaingan kuasa semasa peralihan kuasa dan diasak sepanjang masa oleh parti politik tertentu yang mendakwa kerajaan tidak stabil, adalah perkara yang menuntut daya kepimpinan yang sangat luar biasa. 

“Bersatu tidak menafikan akan keperluan PRU15 itu kerana ia adalah mandat rakyat yang menentukan sebuah kerajaan stabil, kuat dan mampu memberikan kesejahteraan rakyat dan ekonomi.

“Namun secara rasionalnya dalam keadaan pandemik Covid-19 sehingga menjejaskan tahap kesihatan awam yang sangat teruk, tidak masuk akal pihak tertentu terutama di bawah bumbung kerajaan PN serta Muafakat Nasional yang menampakkan kerakusan untuk berkuasa semula,” katanya dalam kenyataan. 

Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Terengganu, berkata rakyat memerhati gelagat orang politik yang masih kecelaruan minda untuk berkuasa yang menyebabkan rakyat mual, muak, marah dan tidak percaya kepada wakil rakyat sedia ada. 

“Hormatilah nasihat Tuanku Agong yang pernah menitahkan ahli politik tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu dan Ahli Yang Berhormat hendaklah sentiasa mempamer kematangan dalam berpolitik. Ini termasuklah menjiwai keluh resah rakyat, membela nasib rakyat.

“Terbaharu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah turut mengingatkan umat Islam supaya tidak menyerahkan amanah atau tanggungjawab kepada golongan yang bermoral rendah, terpalit rasuah, salah guna kuasa, tidak amanah dan tidak ikhlas,” katanya. 

Razali berkata dua pesanan Raja-Raja Melayu itu jelas bukti kerajaan PN di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin sedaya upaya mempertahan harapan pucuk tertinggi negara yang difikirkan terbaik kepada kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara secara menyeluruhnya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here