AHLI Parlimen Pakatan Harapan (PH) disaran supaya menolak daripada menyertai Jawatankuasa Khas Bebas ditubuhkan bagi mengendali perjalanan darurat yang bakal ditubuhkan.
Saranan itu dilontarkan Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar yang menyifatkan cadangan itu wajar kerana pelaksanaan Proklamasi Darurat adalah untuk melindungi keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“MP (Ahli Parlimen) PH dan pembangkang tak perlu sertai sebarang jawatan kuasa yang dibentuk dari Proklomasi darurat.
“Ini kerana tiada keperluan darurat yang dicadangkan oleh Perdana Menteri dan jemaah menteri yang sudah hilang bilangan majoriti MP menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Ahli Parlimen pembangkang wajar menolak menyertai jawatankuasa bebas itu sebagai simbolik tidak memperakui keabsahan kerajaan PN.
Ini kerana katanya, kerajaan PN telah hilang majoriti susulan dua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menarik diri daripada menyokongnya baru-baru ini.
“Perdana Menteri dan kerajaan PN adalah kerajaan yang merampas mandat rakyat dan kini di waktu keputusan untuk darurat dibuat oleh jemaah menteri, kerajaan PN sudah hilang majoriti hanya 110 sahaja dan sehari kemudian bilangan menurun pada 109.
“Ini jelas Perdana Menteri dan jemaah menteri yang ada ini pada moralnya tidak wujud dan tidak layak untuk membuat keputusan dan mempersembahkan pada Seri Paduka Baginda.
“Jika Ahli Parlimen pembangkang sertai bermakna memperakui keabsahan Perdana Menteri dan PN,” katanya.
Selasa lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.
Tempoh pelaksanaan darurat tersebut sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
Baginda turut berkenan cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.
Terdahulu, Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan PH telah menerima surat jemputan menyertai Jawatankuasa Khas Bebas yang bakal ditubuhkan.
Katanya, surat jemputan itu diterima semalam oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang antara lain memohon pembangkang menamakan tiga calon. – Malaysiapost

