ATM cekup warga asing cuba keluar sempadan secara haram

0
1

CUBAAN 76 warga Indonesia untuk keluar dari sempadan Malaysia secara tidak sah dipatahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Op Benteng di Teluk Ramunia dan Kampung Tanjung Che Lahom, Johor.

Kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) itu ditahan dalam dua serbuan pada semalam dan hari ini.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Kem Terendak Melaka dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kejadian berlaku di sektor Op Benteng kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia.

“Pada jam jam 3.40 pagi semalam, anggota petugas Pos Pemerhati telah mengesan kehadiran sebuah bot pancung pada jarak 100 meter dari pesisir pantai Teluk Ramunia.

“Pada masa sama, anggota petugas rondaan mengesan kelibat warga asing sedang berkumpul dalam hutan di persisiran pantai berhampiran lokasi sama pendaratan bot.

“Atur gerak Tim ‘Quick Reaction Force’ (QRF) bersama Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) dijalankan untuk membuat penjejakan dan mengepung kawasan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Pasukan dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut membuat pengawasan di sekitar kawasan terbabit dan hasil serbuan jam 4.35 pagi telah menahan 55 warga asing yang bersembunyi dalam hutan berhampiran.

“Pada jam 5.25 pagi, dua lagi ditahan manakala pada 7.50 pagi, 13 lagi ditahan menjadikan keseluruhan tangkapan adalah 70 orang terdiri 64 lelaki dan enam perempuan warga Indonesia berusia 21 hingga 47 tahun,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pada jam 4.55 pagi tadi pula, anggota petugas Pos Pemerhati mengesan pergerakan sebuah bot pancung menuju ke Kuari Batu, Kampung Tanjung Che Lahom.

Katanya, ia kemudian menurunkan PATI di jarak 50 meter dari pesisir pantai sebelum pasukan sama menahan enam warga Indonesia berusia 27 hingga 35 tahun, dipercayai sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal,” katanya.

Pihak markas memaklumkan nilai rampasan keseluruhan dianggar RM69,748 membabitkankan wang tunai pelbagai jenis matawang, jam tangan, barangan kemas serta telefon bimbit.

Kesemua PATI dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserah kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here