Pengurus syarikat anak Datuk antara ditahan miliki pelbagai senjata di Johor

0
2

PENEMUAN pelbagai senjata api berat jenis di Sungai Skudai, Johor baru-baru ini tidak menjadikan Johor sebagai lokasi penyeludupan senjata api susulan ia hanyalah jenis ‘airsoft’.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, susulan penemuan senjata berkenaan pada 1 Januari lalu, polis menahan 20 individu membabitkan tujuh lelaki tempatan dan 13 lelaki warga Indonesia berusia 21 hingga 50 tahun.

Menurutnya, hasil siasatan menemui satu pistol semi auto, enam rifle airsoft pelbagai jenis dan kira-kira 6,000 peluru hidup pelbagai jenis, lima anak peluru dan komponen senjata api airsoft.

“Hasil pemeriksaan disahkan hanya satu senjata yang sebenar iaitu pistol semi auto dan yang lain adalah senjata jenis airsoft yang menyerupai senjata sebenar.

“Mereka yang ditahan adalah enam lelaki tempatan dan 13 warga Indonesia pekerja kepada sebuah syarikat perkhemahan yang beroperasi berdekatan Sungai Skudai.

“Turut ditahan seorang pengurus syarikat berkenaan yang juga anak kepada seseorang bergelar Datuk,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ayob Khan berkata, hasil tangkapan itu polis mendapat arahan bagi menuduh tiga daripada individu iaitu seorang pengurus dan dua pekerja syarikat perkhemahan terbabit mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara atau denda.

Menurutnya, penemuan senjata berkenaan adalah susulan penahanan seorang pengurus syarikat keselamatan pada awal Oktober tahun lalu dan kes masih dalam perbicaraan.

“Penemuan senjata ini adalah saki baki yang disembunyikan susulan penangkapan pengurus syarikat keselamatan itu dan saya tidak menolak kemungkinan ada cubaan untuk melupuskan senjata berkenaan.

“Tiada unsur tentang penyeludupan senjata api masuk atau keluar daripada Johor dan polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak menyimpan senjata api atau senjata yang tidak dilesenkan,” katanya.

Menurutnya, pengurus syarikat keselamatan dan mempunyai lesen menyimpan senjata api serta peluru namun apa yang berlaku terdapat pemilikan senjata jenis airsoft yang memang tidak dibenarkan.

“Operasi menyelam masih lagi dijalankan oleh Polis Marin dan saya difahamkan hari ini ada lagi penemuan senjata airsoft di sungai berkenaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata susulan kes berkenaan terdapat berita palsu yang mendakwa Johor menjadi lokasi penyeludupan senjata dan ia tidak benar.

“Polis juga sudah mengambil tindakan terhadap seorang anggota polis yang menyebar maklumat berhubung tangkapan dan rampasan itu hingga menjadi viral.

“Tuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 230 A Kanun Keseksaan dan 233 Akta Multimedia dan Komunikasi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here