YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sekali lagi mencuri tumpuan rakyat dengan sifat keprihatinan baginda berdua.

Menerusi hantaran terbaharu di Facebook Istana Negara, pasangan diraja itu berkenan
menggunakan sampan untuk meninjau situasi banjir di Kampung Acheh, Pekan, Pahang.

Pada beberapa gambar yang dimuat naik, kelihatan Seri Paduka Baginda mencemar duli dengan mendayung sendiri sampan yang turut dinaiki permaisurinya untuk menemui mangsa banjir Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kampung Acheh dan Balai Raya Kampung Acheh.
Sifat keprihatinan baginda berdua jelas terpancar apabila meluangkan masa menyantuni mangsa banjir dan berkenan mengurniakan sumbangan bagi meringankan beban ditanggung akibat bencana.

Difahamkan, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dijadual meneruskan lawatan ke beberapa kampung yang dilanda banjir di sekitar Pekan.
Turut mengiringi, anakanda-anakanda baginda berdua, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
“Keberangkatan Seri Paduka Baginda dan Permaisuri ini mencerminkan keperibadian dan keprihatinan tinggi Baginda berdua terhadap mangsa-mangsa banjir yang amat memerlukan bantuan.
“Seri Paduka Baginda berdua turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan agar bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan,” kata hantaran itu. – Malaysiapost

