Nurul Huda Abhar
PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli bagi turut serta dalam misi bantuan banjir di Chini, Pahang.
Sejak Pahang dilanda bencana banjir pada 3 Januari lalu, Tengku Hassanal kerap mencemar duli melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk menghulur bantuan.
Aktiviti kemanusian yang dilakukan Tengku Hassanal menjadi perhatian di laman Instagram (IG), termasuk satu gambar yang dimuat naik semalam yang mana baginda mendayung sampan kayu untuk ke PPS.
“Hari ini saya meluangkan masa dengan seorang ketua, dia menceritakan semua kisah kampung di sini semasa kami mendayung ke Pusat Bantuan Banjir,” tulisnya di hantaran tersebut.
Ramai pengikut IG memuji kebolehan Tengku Hassanal melakukan aktiviti lasak dan dalam masa sama mempunyai rasa tanggungjawab besar kepada rakyat negerinya.
“Pandu kereta sudah, menunggang motor sudah, mengemudi bot pun sudah, memandu truck pun dah. Ni mendayung sampan pula. Apa yang Tuanku tak boleh bawa ni?,” komen Farhaniscomey.
“Sukar untuk tidak like semua gambar Tuanku. Semoga Allah merahmati dan melindungi Tuanku sekeluarga dan semua mangsa-mangsa banjir,” tulis Intanliyana.
“Jaga diri Tuanku, terima kasih sebab turun kawasan Temerloh dan negeri Pahang akibat banjir,” kata Nuramalinaroseman.
Mangsa banjir di Pahang beransur pulih dengan 16,282 daripada 4,480 keluarga masih berada di 147 PPS di lapan daerah, sehingga jam 8 pagi tadi. – Malaysiapost

