Wajib swab, pakai gelang pink jika nak masuk Kelantan

0
2

MULAI tengah malam ini, individu dari luar yang ke Kelantan perlu mengemukakan keputusan ujian swab dan memakai gelang merah jambu.

Kedua-dua perkara itu perlu dikemukakan ketika sekatan jalan raya di pintu masuk ke Kelantan serta di lapangan terbang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata ia dilakukan sebagai usaha mengekang penularan Covid-19 di negeri itu yang semakin meningkat, lapor Berita Harian.

“Justeru, mereka yang mahu masuk ke Kelantan perlu membuat ujian saringan Covid-19 di negeri masing-masing sebelum mengemukakan keputusan ujian berkenaan kepada pihak polis di sekatan jalan.

“Pada masa sama, mereka akan dipakaikan gelang merah jambu dan perlu menjalani kuarantin selama 10 hari,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Kota Bharu hari ini.

Sementara itu, Dr Izani berkata, sebarang majlis keraian tidak dibenar dianjurkan di negeri itu melainkan majlis akad nikah yang hanya boleh dihadiri 20 orang.

“Untuk majlis lain kita tidak benarkan sama sekali. Pusat rekreasi di Kelantan ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kita akan meningkatkan penguatkuasaan di dan meminta orang ramai patuh prosedur operasi standard (SOP).

“Pasar raya atau kedai makan tidak dibenarkan bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah serta warga emas,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here