DATUK Seri Najib Razak meminta Kementerian Kesihatan (KKM) memastikan semua anggota Jemaah Menteri dan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu tidak dibenarkan hadir dalam apa-apa acara awam.
Bekas Perdana Menteri berkata, KKM juga perlu memastikan mereka tidak hadir dalam mesyuarat secara fizikal dalam tempoh inkubasi Covid-19.
“Pastikan tiada double-standards,” kata Ahli Parlimen Pekan itu menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Najib berkata mesyuarat Kabinet diadakan pada pagi 6 Januari, manakala mesyuarat MPT Bersatu pada malam 7 Januari.
“Tempoh inkubasi Covid adalah antara 10 hingga 14 hari.
“Ini bermakna semua yang hadir dalam kedua-dua mesyuarat tersebut perlu kuarantinkan diri sekurang-kurangnya sehingga 17 Januari setelah tidak kurang dari tiga orang hadirin didapati positif Covid-19,” katanya.
Tiga menteri Kabinet yang disahkan positif Covid-19 ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ketiga-tiga mereka adalah pemimpin Bersatu dan hadir mesyuarat MPT parti itu pada 7 Januari lalu. – Malaysiapost

