Tak pernah saya sebut PRU perlu dibuat sekarang – Ahmad Maslan

0
2

SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan beliau tidak pernah menyebut Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu diadakan sekarang.

Ahli Parlimen Pontian itu menjelaskan tidak pernah sama sekali beliau bercakap seperti itu sama ada dalam tembual atau menerusi media sosial.

Beliau sebaliknya berkata, empat kenyataannya iaitu sebelum pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam adalah PRU15 boleh diadakan apabila banjir selesai dan selepas ada vaksin Covid-19.

“Disebut lepas banjir selesai, lepas ada vaksin (rakyat divaksinasi) dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

“Saya harap dilihat secara objektif,” katanya menerusi satu ciapan di Twitternya hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Ahmad menyarankan PRU15 diadakan secepat mungkin memandangkan vaksin Covid-19 akan diperoleh Malaysia tidak lama lagi.

Katanya, pilihan raya satu-satunya jalan untuk menyelesaikan ketidakstabilan politik yang disebabkan Perikatan Nasional (PN) berpaut kepada kuasa yang disifatkannya “majoriti paling tipis di dunia”.

“Untuk menjadi kerajaan, kena ada 112 (kerusi Parlimen) dan kerajaan ini cuma ada 112. Oleh itu, kita mengesyorkan agar diadakan pilihan raya umum secepat mungkin.

“Sebab kedua ialah kerana vaksin Covid-19 telah ada dan kita akan divaksinkan pada bulan hadapan,” katanya selepas mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Pontian.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP di enam negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Sabah bermula esok hingga 26 Januari.

Pagi tadi, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif membendung Covid-19.

Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat itu sehingga 1 Ogos 2021 atau suatu tarikh lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here