PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membuat pengumuman penting mengenai usaha mengekang penularan jangkitan Covid-19 malam ini.
Demikian kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba ketika menjawab pertanyaan media bila pengumuman akan dibuat.
“Malam ini,” katanya ringkas.
Setakat ini tiada sebarang makluman rasmi daripada Pejabat Perdana Menteri berkaitan pengumuman tersebut.
Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata Perdana Menteri akan membuat pengumuman khas hari ini berhubung langkah yang akan dilaksanakan kerajaan susulan trend peningkatan jangkitan Covid-19.
Ismail Sabri berkata kerajaan memandang serius dan sentiasa memantau situasi semasa trend peningkatan jangkitan yang mencatat empat digit bermula hujung November 2020.
“Kerajaan sedang memperhalusi dan menilai tindakan-tindakan yang perlu diambil segera bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19 termasuk mempertimbangkan SOP lebih ketat melibatkan sektor sosial bagi mengurangkan pergerakan dan risiko Covid-19,” katanya.
Pada 8 Januari lalu, buat pertama kali Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi mencecah angka 3,000 sejak wabak Covid-19 melanda negara iaitu sebanyak 3,027 kes. – Malaysiapost
