KERA jantan yang menggigit bayi berusia dua bulan di Kampung Manggis, Sungai Puyu, Butterworth, kelmarin ditembak mati dalam operasi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis mengajukan laporan dibuat bapa bayi berkenaan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.
“Susulan itu, polis bersama pihak Perhilitan turun ke lokasi kejadian dan menembak mati seekor kera jantan yang menggigit bayi berkenaan pada 11.30 pagi tadi.
“Ketika itu, kera berkenaan berada di atas pokok di dalam kawasan belukar dalam jarak 30 meter dari rumah mangsa,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang kelmarin, bayi lelaki berkenaan cedera di badan dan kepala apabila digigit sebelum diseret satu meter oleh kera jantan.
Ketika kejadian, bayi itu ditinggalkan berseorangan di atas tilam di ruang tamu sementara ibunya ke dapur membuat susu.
Bayi lelaki itu kini menerima rawatan di wad kanak-kanak Hospital Pulau Pinang selepas selesai menjalani pembedahan kecil dan dilaporkan stabil. – Malaysiapost

