Fitri Nizam
Tiga premis dipercayai menawarkan khidmat pelacuran wanita warga asing di tiga lokasi sekitar Jalan Klang Lama, Brickfields digempur, petang tadi.
Serbuan dijalankan Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, jam 5.50 petang hasil risikan dan maklumat awam.
Dalam serbuan itu, seramai 17 wanita warga China, Vietnam dan Indonesia berusia 17 hingga 38 tahun ditahan.
Polis turut menahan empat penjaga premis, lima pelanggan tempatan dan seorang pelanggan warga asing.
Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata ketiga-tiga premis terbabit dipercayai memulakan operasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan susulan orang ramai mula dibenarkan keluar.
“Aktiviti pelacuran membabitkan wanita asing ini beroperasi dalam premis secara tersembunyi tanpa ada sebarang papan tanda.
“Mereka hanya ‘membuka pintu’ kepada pelanggan tetap dan kenalan terdekat.
“Untuk memasuki premis ini serta mendapatkan khidmat urutan dan seks pelanggan akan dipantau oleh penjaga premis melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum dibenarkan masuk,” katanya selepas serbuan.
Mohd Zani berkata, pelanggan dikenakan bayaran RM180 untuk sekali perkhidmatan dalam premis yang tidak mempunyai sebarang lesen perniagaan yang sah itu.
“Semua pelacur warga asing ini didapati tinggal dalam premis yang lengkap bilik tidur, dapur memasak dan ruang mencuci pakaian bagi mengelak mereka berkeliaran di luar.
“Semua wanita terbabit ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan atas kesalahan terbabit dalam kegiatan pelacuran; Seksyen 372B kanun sama kerana menawarkan khidmat pelacuran serta kesalahan mengikut Akta Imigresen,” katanya.
Selain itu, semua penjaga premis dan pelanggan warga tempatan dikenakan saman kompaun kerana melanggar syarat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Kesemua mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk tindakan lanjut.

