Rina Harun pula dijangkiti Covid-19

0
2

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun pula disahkan positif Covid-19.

Pejabat Menteri KPWKM dalam satu kenyataan berkata, beliau menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Putrajaya pada pagi semalam.

“Datuk Seri Rina telah dimasukkan ke wad Hospital Sungai Buloh pada jam 11 pagi hari ini untuk pihak hospital menjalankan pemantauan lanjut dan akan mematuhi segala garis panduan berkaitan jangkitan Covid-19 yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Beliau memohon maaf jika perkara ini telah menimbulkan apa jua kesulitan dan keresahan kepada semua dan memohon agar Allah SWT mempermudahkan segala urusan untuk semua terlibat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Rina juga akan memastikan semasa ketiadaannya, kementerian itu akan meneruskan kerja kebajikan, pembelaan, pemerkasaan dan pembangunan kumpulan sasar serta segala urusan akan tetap berjalan seperti biasa.

Rina adalah anggota Kabinet kerajaan Persekutuan kedua positif Covid-19 ketika gelombang ketiga penularan wabak itu selepas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed mengesahkan beliau dijangkiti, semalam.

Semalam, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli mengesahkan beliau positif Covid-19 setelah menjalani saringan sejurus tiba di Kota Bharu dari Kuala Lumpur pagi kelmarin.

Beliau dimasukkan ke wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ Il), Kota Bharu, Kelantan pada jam 10.30 malam kelmarin untuk pemantauan dan keadaannya stabil.

Semalam Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata semua ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu diarah menjalani ujian saringan Covid-19, selepas Mustapa disahkan positif.

Ini kerana Mustapa yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Pa dilaporkan hadir mesyuarat MPT Bersatu, Rabu lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here