Pelarasan baharu had PGK manfaat rakyat

0
3

Nurul Huda Abhar

Pelarasan baharu Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dapat membawa banyak manfaat kepada rakyat jika program bantuan tunai dan bukan tunai lebih banyak diperkenalkan kerajaan.

Pakar ekonomi, Mohammad Noorizzuddin Nooh berkata, kenaikan had PGK kepada RM2,208 daripada RM980 adalah baik dan inklusif kerana jika dilihat pada kadar lama masih ramai yang terkecuali.

“Bila kita lihat pada kadar lama sebelum pelarasan ini berlaku, ramai yang tidak berada dalam kategori ini terutama mereka di bandar-bandar besar.

“Maka dengan pelarasan ini kemungkinan lebih ramai akan menerima manfaat jika ada program bantuan tunai dan bukan tunai yang akan diperkenalkan kerajaan,” katanya kepada Malaysia Post.

Tambahnya, pembaharuan had PGK adalah keputusan yang munasabah dan tepat terutama ketika rakyat berdepan pasca pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia juga, katanya, bertepatan dengan situasi di mana ramai hilang pekerjaan dan diberhentikan kerja berikutan penutupan operasi syarikat atau menutup operasi syarikat buat sementara waktu.

Mengulas lanjut, Mohammad Noorizzuddin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan USIM Tijarah Holdings Sdn Bhd berkata, kadar kemiskinan juga bertambah jika diukur dengan kadar PGK yang baharu dan semestinya rakyat yang tinggal di kawasan bandar amat terkesan.

“Mereka yang tinggal di bandar boleh mendapat lebih banyak bantuan. Dengan gaji RM1,800 seseorang di bandar sudah bergelar eksekutif namun dari segi kewangan masih bertatih.

“Ini disebabkan kenaikan kos dan bukan kurang kemahiran merancang kewangan. Mereka adalah mangsa kitaran ekonomi.

“Apa yang boleh dilakukan kerajaan bagi menambah baik semua bantuan yang tersedia adalah memperkemaskan lagi subsidi bersasar secara inklusif bagi memastikan tiada golongan terkecuali,” katanya.

Baru-baru ini, Malaysia menyemak semula had PGK kepada RM2,208 berbanding kadar RM980 yang digunapakai sejak 2005.

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, pengenalan had baharu itu menjadikan jumlah isi rumah yang tergolong dalam kategori miskin bertambah kepada 405,441 berbanding hanya 16,653 jika menggunakan had sebelum ini.