Fitri Nizam
Kerajaan perlu melaksanakan tindakan radikal dari aspek ekonomi dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi menentukan taraf hidup orang Melayu dan Bumiputera tidak terus ketinggalan pada masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman, berkata mengambil kira laporan Jabatan Perangkaan terkini, jelas orang Melayu dan Bumiputera masih jauh ketinggalan dari segi ekonomi berbanding masyarakat Cina dan India.

Beliau berkata, pendapatan isi rumah Bumiputera masih lagi tercorot, malah negeri termiskin adalah negeri paling ramai penduduk Bumiputera iaitu Kelantan, Sabah, Kedah, Pahang, Sarawak dan Perlis.
“Jurang pendapatan isi rumah antara Bumiputera dengan Cina masih kekal dengan nisbah 0.72 : 1, iaitu satu nilai yang tidak berganjak sejak 2009.
“Dari segi perbezaan keseluruhan, jurang melebar lebih dua kali ganda, iaitu dari RM15,432 setahun pada 1995 kepada RM 33,624 pada tahun lalu,” katanya.
Ahmad Yazid berkata, masyarakat Bumiputera masih lagi mempunyai kebergantungan besar pada gaji sebagai sumber utama pendapatan berbanding dengan yang lain.
“Hanya 20 peratus isi rumah Bumiputera sahaja miliki aset yang memberi pulangan menokok pendapatan bulanan, manakala baki 80 peratus hanya bergantung pada pendapatan dari pekerjaan dan perniagaan kecil-kecilan semata-mata dan tidak mempunyai aset.
“Gaji penengah Bumiputera hanya RM2,300 sebulan pada 2018 dan dengan 60 peratus dari isi rumah Bumiputera punyai baki pendapatan bulanan antara negatif dan RM1,000 sahaja,” katanya.

Justeru, MTEM menyokong penuh penubuhan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) dan menyifatkan ia petanda bahawa Agenda Ekonomi Bumiputera mendapat tempat tertinggi dalam kerajaan.
“Bagaimanapun, MTEM berharap MKB akan mengambil iktibar daripada kejayaan dan kelemahan Model Ekonomi Baru (MEB) dan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
“MKB perlu membabitkan pelbagai pemegang taruh ekonomi Bumiputera termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil, bukan sahaja peniaga dan usahawan,” katanya.
Ahmad Yazid menegaskan, komuniti ekonomi Bumiputera sebenarnya sudah bosan dengan pelbagai kongres dan seminar dianjurkan jika aktiviti yang dijalankan hanya mengulangi permasalahan sama.
“Kali ini, kerajaan hendaklah bertindak dengan berani dan pantas supaya laungan kebangkitan ekonomi Melayu dan Bumiputera selepas ini akan tidak menjadi sia-sia dan retorik semata-mata,” katanya.

