STADIUM Tertutup Sibu akan dijadikan pusat kuarantin tambahan bagi pesakit Covid-19 jika jumlah pesakit semakin meningkat.
Sebanyak 80 unit khemah khas Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sudah siap dipasang di stadium berkenaan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) hari ini.
Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak, Dr Annuar Rapaee, berkata pembukaan pusat kuarantin itu adalah sebagai persediaan sekiranya pusat kuarantin di Kemuyang tidak dapat menampung jumlah pesakit yang bertambah.
“Pusat kuarantin ini belum diguna lagi, ini hanya sebagai persediaan awal jika keadaan terdesak dan kita sedaya-upaya tidak akan menggunakan stadium tertutup ini jika tidak perlu,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Terdahulu, menerusi hantaran di laman Facebooknya, Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, pusat kuarantin berkenaan adalah sebagai tambahan sekiranya diperlukan saja.
Daerah Sibu menjadi zon merah Covid-19 hari ini selepas 44 kes dicatatkan sejak dua hari lepas, bermula dengan 37 kes dilaporkan di bawah Kluster Pasai. – Malaysiapost




