Judi Sungai Buloh: MBSA beri kerjasama pada SPRM

0
3

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan penahanan tiga anggota penguat kuasanya.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA menerusi kenyataan menegaskan pihaknya tidak berkompromi dan melindungi kakitangan yang melakukan salah guna kuasa dan tidak berintegriti.

“Pihak MBSA juga ingin menasihatkan orang ramai supaya dapat menyalurkan aduan sekiranya ada maklumat berkaitan salah laku kakitangan MBSA,” katanya.

Orang ramai boleh berbuat demikian melalui emel kepada aduanintegriti@mbsa gov.my atau menelefon di talian 03-55105133 sambungan 1671.

Pagi tadi, SPRM menahan tiga pegawai penguat kuasa MBSA kerana dipercayai mengutip dan menerima rasuah secara bulanan bagi melindungi premis perniagaan tanpa lesen sekitar Sungai Buloh.

Dalam operasi jam 9 pagi tadi, tiga pegawai penguat kuasa berusia 41 hingga 49 tahun ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya ketika dipanggil beri keterangan.

Mereka terdiri dua penguat kuasa Cawangan Sungai Buloh dan seorang dari MBSA Shah Alam, manakala seorang peniaga rokok seludup berketurunan Aceh turut ditahan kerana tiada dokumen dan akan diserah kepada Jabatan Imigresen bagi tindakan lanjut

Lelaki Aceh itu dikatakan membayar RM300 sebulan kepada penguat kuasa bagi mengelak sebarang tindakan.

Tangkapan itu susulan pendedahan yang tular di media sosial berkaitan aktiviti judi haram dan penjualan rokok seludup di sekitar Sungai Buloh.