Pisang goreng memang sedap, tapi jangan hina kawan MP yang lain

0
2

KETUA Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin supaya tidak memberi gelaran yang tidak sepatutnya kepada rakan Ahli Parlimen. 

Ia selepas Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkaitan hubungan Umno dengan Bersatu sebagai ‘pisang goreng’. 

“Pisang goreng ini memang sedap, tetapi sebagai seorang pemimpin daripada Ketua Pemuda (Umno), tak sepatutnya dia hina kawan MP (Ahli Parlimen) yang lain. 

“Jadi saya berharap Mat Bangla ini janganlah berkelakuan sedemikian,” katanya menerusi siaran langsung di Facebooknya malam tadi. 

Beliau berkata demikian selepas seorang penonton siaran langsung tersebut meminta ulasannya berhubung kenyataan Khairy berkaitan isu ‘pisang goreng’. 

Mengulas lanjut, Jamal berkata, Khairy mungkin sedang susah hati memikirkan di mana beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

“Kita tahu dia tengah memikirkan kat mana nak bertanding sebab di Rembau Tok Mat Hasan (Datuk Seri Mohamad Hasan) Timbalan Presiden Umno sudah menyatakan bahawa beliau (Khairy) kena cari tempat lain,” katanya. 

Beberapa hari lalu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menjawab ‘pisang goreng’ ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad Maslan bahawa Umno tidak menyokong Bersatu kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) enggan menggugurkan kes mahkamah dihadapi pemimpin-pemimpin parti itu. 

Khairy dilaporkan berkata, kenyataan Ahmad yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu jelas menunjukkan tahap pemikiran yang sempit. 

“Kenyataan tersebut kerana kerajaan ini (PN) tidak mahu campur tangan dalam kes mahkamah, itu pemikiran yang goreng pisang (tahap pemikiran) lah. Dulu lobak merah, sekarang ‘pisang goreng’. 

“(Maksudnya), tiada alasan yang berkualiti (kukuh),” katanya. 

Selain Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Ahmad juga berdepan perbicaraan di mahkamah atas dakwaan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterimanya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 2013. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here