PKPD tiga lokaliti di Johor, Negeri Sembilan dilanjutkan

0
2

TIGA kawasan yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKP) yang dijadual berakhir esok dilanjutkan tempoh dua minggu lagi.

Kawasan itu melibatkan Penjara Jelebu, Negeri Sembilan, Pusat Koreksional Johor Bahru, Johor dan Dewan Arena Segitiga, Taman Desa Sejahtera, Kota Tinggi, Johor yang menempatkan tahanan lokap.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum ini kerajaan melaksanakan PKPD di Penjara Jelebu dan kuarters kakitangannya yang dijadualkan tamat esok.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sudah melaksanakan 1,694 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 459 kes positif Covid-19 direkodkan.

“KKM turut mengesahkan terdapat 803 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di penjara dan kuarters berkenaan.

Beliau berkata, pelanjutan PKPD yang dilaksanakan di Pusat Koreksional Johor Bahru juga membabitkan kuarters kakitangan pusat berkenaan.

“Sebanyak 1,376 ujian saringan dijalankan dan 516 daripadanya positif Covid-19.

“KKM turut mengesahkan kadar kebolehjangkitan dalam kalangan penghuni pusat tahanan itu masih tinggi dan banyak kes baru dikesan selepas saringan kedua dilaksanakan,” katanya.

Menurutnya, PKPD di Dewan Arena Segitiga, Taman Desa Sejahtera dilanjutkan susulan KKM mengesahkan kadar kes positif di lokaliti berkenaan sangat tinggi dengan kes terbaru direkodkan semalam.

“Dewan ini digunakan bagi menempatkan tahanan dari Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

“KKM sudah melaksanakan 171 saringan di situ dan daripada jumlah itu 164 kes positif Covid-19 direkodkan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, semua kawasan terbabit kini dilanjutkan PKPD sehingga 24 Januari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here