Wanita PKR cabar PM benar PAU berlangsung

0
3

WANITA PKR mencabar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya membenarkan Perhimpunan Agung Umno (PAU) berlangsung.

Pengarah Komunikasinya, Lor Ker Chean, berkata, pihaknya berharap penganjuran PAU tidak disekat dengan sebarang helah politik termasuk alasan wabak Covid-19.

Katanya, Umno sudah memaklumkan bahawa usul untuk memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan diumumkan pada perhimpunan berkenaan 31 Januari ini.

“Wanita PKR melontarkan cabaran ini kerana mengambil iktibar daripada insiden cadangan pengisytiharan darurat di seluruh negara kepada Yang di-Pertuan Agong pada tahun lalu oleh Perdana Menteri demi kepentingan politik peribadinya.

“Memasuki dekad baru ini, rakyat sedia maklum akan hakikat ketidakstabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam mentadbir negara.

“Kemelut persekongkolan PN yang masih tidak usai sejak tercetusnya Langkah Sheraton merencatkan usaha memerangi wabak Covid -19 sekali gus menjejaskan keyakinan pelabur luar negara untuk melabur dalam negara,” katanya menerusi Facebook.

Ker Chean berkata, Muhyiddin selaku Presiden Bersatu perlu menerima keputusan PAU sama ada Umno kekal menyokong beliau atau tidak selaku Perdana Menteri dengan majoriti paling tipis dalam sejarah Malaysia.

“Malaysia telah menunjukkan teladan yang terbaik kepada dunia terutamanya negara-negara yang mendukung sistem demokrasi pada Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu apabila peralihan kuasa yang aman dan damai berlaku dalam Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar Perdana Menteri tidak mencontohi Presiden Amerika Syarikat Donald Trumph yang enggan memudahkan proses peralihan kuasa sehingga menyebabkan tragedi berlaku di AS kebelakangan ini.

“Saya menyeru Perdana Menteri supaya mengizinkan peralihan kuasa berlaku dengan aman sekiranya beliau kehilangan sokongan Umno menerusi PAU pada hujung bulan ini. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here