KKM perlu perincikan kes positif Covid-19 setiap lokaliti – Cuepacs

0
2

Nurul Huda Abhar

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berpandangan sudah tiba masanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan dengan lebih terperinci kes berlaku di setiap lokaliti yang terlibat.

Presidennya, Adnan Mat berkata, ianya termasuk memaklumkan kepada masyarakat kejadian kes mengikut taman atau kampung yang terlibat supaya semua pihak mengetahui kejadian di kawasan tersebut dan langkah pencegahan akan dapat dilakukan.

“Kerjasama antara masyarakat setempat dengan pihak berkuasa seperti Pejabat Kesihatan daerah, IPD, Rela perlu digembeling bersama dalam memutuskan rantaian jangkitan di lokaliti tersebut.

“Masyarakat perlulah membantu kerajaan dalam memastikan wabak Covid-19 dapat ditangani. Usahlah menyebarkan berita palsu yang akhirnya akan menyebabkan panik di kalangan masyarakat dan menyukarkan pihak berkuasa untuk menjalankan tugas.

“Cuepacs berharap dengan adanya suntikan vaksin yang akan dibuat oleh kerajaan berjaya melandaikan lengkuk epidemik Covid-19. Pastikan vaksin ini dapat diberi dengan lebih ramai lagi yang akan mendapatkannya.

Sementara itu, beliau menegaskan masyarakat juga perlu diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat palsu berkaitan vaksin yang boleh menyukarkan usaha kerajaan menjaga keselamatan rakyat.

Jelasnya, ahli politik perlu berlapang dada dan bersatu bersama-sama dalam menangani Covid19.

Adnan berkata, ini kerana peranan ahli politik sama ada pembangkang atau kerajaan amat penting agar setiap tindakan dilakukan akan memberi kebaikan kepada masyarakat.

“Dalam situasi yang genting seperti ini Cuepacs berharap semua pihak dapat bersama-sama dengan Perdana Menteri, kerajaan dan petugas barisan hadapan dalam mengekang penularan Covid-19 ini.

“Hentikan segala perselisihan atau perbezaan pandangan, carilah titik persamaan dalam menghadapi situasi genting ketika ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here