‘Umno dilihat tak berprinsip selagi kekal dalam PN’ – Guan Eng

0
1

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan Umno tetap tidak akan dilihat berprinsip selagi kekal bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Umno kini dilihat berperanan seperti pembangkang.

Menurutnya, dengan krisis politik yang berlaku kini, jelas menunjukkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berada dalam keadaan tersepit dan tidak mempunyai pilihan lain kecuali terus bergantung kepada Umno.

“Sekiranya Umno parti yang berprinsip, mereka pasti sudah meninggalkan kerajaan, atau Muhyiddin memecat Umno kerana melawan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Namun, hakikat bahawa Umno masih kekal dalam kerajaan menunjukkan fakta jelas iaitu Muhyiddin telah kehilangan sokongan majoritinya di parlimen dan dia memerlukan Umno demi mengekalkan kuasanya yang lemah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Guan Eng berkata, serangan Umno ke atas PN dilakukan dengan ketara oleh ramai pemimpin kanan parti itu termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Namun, katanya, dalam keadaan kemelut yang melanda Umno masih kekal bersama kerajaan yang diterajui BN.

“Kemunafikan kritikan Umno terhadap ketidakcekapan, penyalahgunaan kuasa, amalan rasuah, janji-janji yang dimungkiri dan kesan buruk “u-turn” dasar kerajaan PN jelas bukan bertujuan untuk memperbaiki kegagalan, sebaliknya hanya untuk memaksa agar pilihan raya umum awal diadakan tanpa mengira krisis Covid-19,” katanya.

Terdahulu, dalam keadaan sokongan ke atas Muhyiddin yang terus diragui, beberapa pemimpin kanan Umno dilihat giat mengkritik kerajaan atau Bersatu dalam beberapa isu seperti pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ia kemudian dihangatkan lagi dengan dakwaan dibuat bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN). Tan Sri Annuar Musa mengenai tindakan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberikan sokongan secara hitam putih kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

Annuar juga mendakwa ada pihak dalam Umno sedang cuba menjalin kerjasama dengan DAP bagi menjatuhkan PN. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here