SIKAP segelintir pemimpin politik yang mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, ini kerana gesaan itu dibuat dalam keadaan negara dilanda masalah Covid-19, banjir besar dan kemerosotan ekonomi.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, tindakan berkenaan sekali gus memperlihatkan mereka hanya kemaruk kuasa dan tidak sensitif terhadap rakyat di peringkat akar umbi.
“Mendesak pilihan raya di saat rakyat dan negara berhempas pulas dengan Covid-19, banjir, ekonomi, jelas mencerminkan bukan saja tidak bertanggungjawab tapi memperagakan kemaruk kuasa dan tidak sensitif kepada derita rakyat..Itu bukan kehendak akar umbi,” kata Annuar dalam ciapan di Twitter.
Dalam perkembangan lain, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan menegaskan, beliau tetap bersedia menjadi ‘jambatan penghubung’ bagi menyelesaikan pelbagai masalah berbangkit dan pertikaian yang timbul antara UMNO dan parti-parti lain yang membentuk gabungan Muafakat Nasional (MN) dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Baru-baru ini, Umno mendesak agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, lebih 30 negara di dunia sudah mengadakan pilihan raya dalam keadaan mereka berdepan penularan Covid-19.
Ahmad Zahid berkata, prosedur operasi standard (SOP) baharu boleh digunakan bagi melaksanakan PRU15 dalam tempoh berkenaan. -Malaysiapost

