‘PRU-15 tak sesuai diadakan sekarang’ – Abdul Hadi

0
1

KUALA LUMPUR, 1 Mac -- Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bercakap pada sidang media bersama para Pimpinan PAS Pusat berikutan perkembangan isu politik semasa di Malaysia hari ini. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak sesuai diadakan dalam tempoh terdekat susulan peningkatan jangkitan Covid-19 dan banjir yang semakin buruk di beberapa negeri, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, kerajaan perlu memberi fokus dan menyelesaikan dua isu besar itu terlebih dahulu sebelum melaksanakan PRU-15 demi memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.

“Biar selesai Covid-19 dan banjir dulu, takkan (adakan PRU) masa banjir dan Covid-19 tengah merebak lagi. Kita kena bincang dengan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan pihak berkenaan.

“Kita tidak mahu membebankan rakyat,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai saranan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri berikutan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak kukuh dan pergeseran antara Umno dan Bersatu, Abdul Hadi berkata:

“Kita mahu kukuhkan lagi PN dan Umno belum membuat keputusan muktamad. Ia tidak boleh melalui bahagian dan ahli biasa, mereka ada MT (Majlis Tertinggi), ada biro politik dan ada perhimpunan agung,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, PN yang dibina bersama Umno dan Bersatu tidak akan roboh sebaliknya akan terus diperkukuhkan dan dipertahankan.

Katanya, PAS tidak akan campur tangan dalam isu pergeseran Umno dan Bersatu selain yakin kemelut itu akan diuruskan dengan baik oleh kedua-dua pihak.

Sebelum ini, Umno mendesak agar PRU-15 diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, lebih 30 negara di dunia sudah mengadakan pilihan raya dalam keadaan mereka berdepan penularan Covid-19.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) baharu boleh digunakan bagi melaksanakan PRU15 dalam tempoh berkenaan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here