ARSENAL terpaksa membuat pinjaman jangka pendek bernilai AS$163 juta (RM658.5 juta) daripada kerajaan Britain untuk membantu mereka menangani kesan daripada pandemik Covid-19.
Perkara itu dimaklumkan oleh kelab berkenaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Pada Ogos tahun lalu, Gunners memaklumkan rancangan untuk menamatkan khidmat 55 kakitangan yang tidak diperlukan kerana masalah kewangan yang dihadapi kelab itu akibat Covid-19.
AFP melaporkan pada peringkat itu juga sebahagian besar pemain bersetuju untuk pemotongan gaji sebanyak 12.5 peratus daripada gaji mereka dalam usaha untuk menyelamatkan kakitangan Arsenal daripada kehilangan kerja.
Semalam, kelab mengesahkan bahawa mereka menggunakan skim pinjaman dari Bank England untuk menambah pendapatan ketika perlawanan di Stadium Emirates masih lagi akan berlangsung tanpa kehadiran penonton.
“Kami akan terus berusaha mengatasi implikasi pandemik global terhadap masalah kewangan kami, kami dapat mengesahkan bahawa kelab sudah memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Bank England untuk mendapatkan Kemudahan Pembiayaan Korporat Covid (CCFF),” kata Arsenal dalam satu kenyataan.
“Keputusannya adalah kami mengambil pinjaman jangka pendek £120 juta (RM657.4 juta) melalui kemudahan itu untuk membantu menguruskan kesan kerugian yang dialami akibat pandemik ini.
“Ia adalah pendekatan yang sama diambil oleh berbagai organisasi besar termasuk sukan dan akan dapat dibayar pada Mei 2021.
Arsenal berkata, pinjaman itu adalah sebagai tambahan kepada sokongan kewangan yang diterima kelab daripada pemiliknya, Stan Kroenke, seorang usahawan sukan yang berpangkalan di Amerika Syarikat.-Malaysiapost

