SITUASI banjir di Terengganu semakin buruk dengan jumlah mangsa meningkat kepada 12,899 orang membabitkan 3,234 keluarga setakat jam 8 pagi tadi.
Sebanyak 50 pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan dan dibuka di Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Besut.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Kemaman terus menunjukkan pertambahan mangsa apabila seramai 11,065 orang daripada 2,719 keluarga kini ditempatkan di PPS.
“Ia menunjukkan peningkatan berbanding tengah malam tadi (Khamis) yang hanya merekodkan seramai 10,734 orang daripada 2,640 keluarga yang dipindahkan ke 28 PPS.
“Mangsa banjir di Dungun juga bertambah kepada 1,574 orang daripada 452 keluarga di 17 PPS berbanding 1,565 orang daripada 450 keluarga di 16 PPS,” katanya.
Sementara itu, di Pahang mangsa banjir kembali meningkat kepada 26,760 mangsa daripada 7,222 keluarga setakat jam 8.50 pagi tadi.
Kesemua mereka ditempatkan di 276 PPS)
di sembilan daerah di negeri itu.
Angka itu menunjukkan peningkatan berbanding 22,897 orang daripada 6,222 keluarga yang berlindung di 280 PPS.
Dalam pada itu, di Johor jumlah mangsa banjir bertambah baik apabila mencatatkan penurunan kepada 1,422 orang daripada 363 keluarga setakat jam 8 pagi ini.
Ia berbanding 2,260 orang membabitkan 559 keluarga yang ditempatkan di 21 PPS di enam daerah terjejas, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata sehingga kini, hanya 16 PPS masih diaktifkan di negeri itu dengan lima daerah terjejas.-Malaysiapost

