i-Sinar: Kenapa masih tegas dan susahkan rakyat? – Najib

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan tindakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang masih bertegas dalam meletakkan syarat bagi permohonan i-Sinar.

Katanya, tindakan KWSP yang masih tidak berubah itu nyata menyusahkan dan mengecewakan rakyat.

“Kenapa masih tegas nak letakkan syarat untuk menyusahkan dan mengecewakan jutaan rakyat?,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Najib berkata, ini bukan kali pertama beliau memberi pandangan, di mana sejak Oktober lagi beliau suarakan hasrat rakyat yang tertekan untuk mengeluarkan wang dari akaun 1 KWSP.

“Saya kata sukar tak bermaksud mustahil dan ada caranya. 

“Saya juga jelaskan cara bagaimana ianya boleh dilakukan tanpa kesan besar kepada KWSP dan sektor kewangan. 

“Akhirnya tuntutan saya dan Umno berhasil,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata perkara yang didakwa sukar sebelum ini  menjadi realiti, di mana jutaan rakyat terdesak menerima manfaat.

Katanya, semalam, KWSP umum mereka telah luluskan 2.5 juta daripada 3.88 juta permohonan di bawah kategori 1 i-Sinar.

“Ini bermaksud 1.38 juta lagi Rakyat kecewa.

“Sepatutnya, kategori 1 KWSP adalah tidak bersyarat dan kelulusannya ialah automatik.

“Jadi, kenapa pula jutaan permohonan telah ditolak KWSP?,” katanya.

Najib berkata jika begitu banyak permohonan kategori 1 yang dikatakan kelulusan automatik telah ditolak, tidak mustahil permohonan kategori 2 turut berdepan masalah.

“Apakah nasib bagi permohonan di bawah kategori 2 yang bersyarat serta memerlukan bukti-bukti dokumen untuk disemak KWSP?

“Kenapa masih tegas nak letakkan syarat untuk menyusahkan dan mengecewakan jutaan rakyat?,” katanya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here