Bersatu akan musnah, jika Umno tarik sokongan – Tun M

0
2

Nurul Huda Abhar

“SAYA telah beritahu Muhyiddin bahawa dia akan hadapi masalah dengan Umno,” kata Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, masalah yang akan dihadapi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu adalah kerana Umno sebuah parti yang besar.

“Umno adalah parti yang besar, Bersatu pula parti kecil. Bersatu akan bergantung kepada mereka (Umno).

“Jika mereka tarik balik sokongan, Bersatu akan musnah,” katanya ketika sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Presint 8, Putrajaya petang tadi.

Namun begitu, Dr Mahathir menjelaskan Muhyiddin memberitahunya bahawa beliau akan mengawal apa jua situasi yang timbul.

“Jadi saya nak tengok bagaimana dia (Muhyiddin) mengawalnya,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa meminta Ahli Parlimen Umno meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum Februari ini bagi mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) secepat mungkin.

Ahmad Zahid, berkata Umno tiada pilihan kerana kerajaan ini gagal memahami hati nurani rakyat yang mahukan pembaharuan dan reformasi dalam pentadbiran.

Semalam, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menerusi satu kenyataan memutuskan agar parti itu membawa usul untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu pada PRU-15 di Perhimpunan Agung Umno (PAU) hujung bulan ini.

Antara usul lain, Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata, mesyuarat pada malam tadi juga sebulat suara bersetuju untuk membawa usul mempertahankan hubungan kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) pada PAU nanti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here