Sukses Sifu 2020: 31 usahawan berkongsi rahsia kejayaan dan kekayaan

0
3

Konvensyen Founder Legend Sukses Sifu 2020 yang menampilkan seramai 31 usahawan terkemuka buat julung kali diadakan bermula 31 Ogos sehingga 4 September depan.

Program di bawah Dewan Perdagangan dan Industri Asean (DPIA) yang mensasarkan seramai 10,000 penonton akan disertai oleh usahawan berjaya dalam pelbagai sektor dan disiarkan secara langsung melalui platform media sosial.

Pengarah program merangkap Timbalan Presiden 1 DPIA, Datuk Sohaimi Shahadan, berkata kejayaan dan latar belakang mereka mampu menjadi pembakar semangat dan pendorong untuk semua generasi dalam menceburi bidang keusahawanan.

“Ilmu dan rahsia pencapaian yang didedahkan itu boleh dijadikan panduan bagi mereka yang sedang tercari-cari haluan kerjaya untuk masa depan.

“Impak dan peranan media sosial dalam kehidupan seharian kita kini semakin hebat. Jadi, kami mengambil peluang untuk menggunakan ruang tersebut bagi menyiarkan program Konvensyen Founder Legend Sukses Sifu 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kehidupan normal baharu termasuk situasi sosial dan ekonomi global yang tidak menentu menyaksikan pertambahan program dilaksanakan melalui pelbagai platform media sosial, seperti Facebook, Instagram dan YouTube.

Pelayar atas talian boleh melayari laman sesawang Malaysia Post dan platform media sosial yang lain bagi mendapatkan pelbagai ilmu keusahawanan sekaligus memantapkan lagi usaha mereka untuk lebih dikenali.

“Penonton boleh melayari Facebook, Instagram, YouTube dan Twitter selain portal Malaysia Post dengan menggunakan nama “suksessifu2020” bagi mendapatkan pelbagai ilmu, penerangan serta motivasi yang sememangnya amat diperlukan oleh seseorang untuk bangkit berjaya,” katanya lagi.

Antara usahawan yang ditampilkan adalah Presiden DPIA, Dato Moehamad Izat Emir, Presiden Malaysia Book of Records, Tan Sri Danny Ooi, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Ameer Ali Mydin, Presiden Kumpulan Mofaz, Mohamad Fauzy Abdul Hamid dan Pengasas Malakat Mall/Brainy Bunch, Fadzil Hashim.

“Selebriti yang berjaya dan menjadi idola seperti Pengarah syarikat Suhan Movies & Trading/pemilik ST Rosyam Mart, Datuk Rosyam Noor, Presiden KRU Entertainment, Dato Norman Abdul Halim, pemilik syarikat rakaman Mixology Music, Komposer dan penyanyi, Dj Fuzz dan ramai lagi turut berkongsi tips kejayaan mereka,” ujarnya.